Disebabkan kulit bayi yang dilahirkan begitu lembut dan sangat sensitif maka mudah baginya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kulit. Ibu bapa jangan sesekali mengambil ringan perihal bayi anda kerana masalah penyakit kulit seperti ruam, amat mudah dihidapi bayi. Terdapat beberapa kategori ruam yang biasa dialami oleh bayi. Di bawah berikut adalah jenis-jenis ruam berserta beberapa petua yang boleh dipraktikkan mengikut kemudahan dan kemampuan anda:
 
Ruam Lampin
 
Bayi akan mengalami ruam lampin jika dia dibiarkan memakai lampin untuk satu tempoh yang lama kerana air kencing akan bertindak balas dengan kulit bayi seterusnya menyebabkan timbul bintik-bintik merah. Bintik ini boleh bernanah jika tidak dirawat degera. Oleh itu, pastikan anda kerap menukar lampin bayi untuk mengelak masalah ini.
 
Ruam Panas
 
Cuaca panas menyebabkan bayi berpeluh. Peluh-peluh yang terkumpul di celah pelipat tubuh kemudiannya akan bertindak balas dengan kulit bayi sehingga menyebabkannya mengalami keradangan. Memakaikan bayi pakaian yang sesuai adalah langkah terbaik mengelakkan mereka daripada mendapat ruam panas.
 
Ruam susu
 
Ruam ini juga disebut sebagai ‘kurap susu’. Masalah ini terjadi kerana lebihan susu yang meleleh ketika bayi minum tidak segera dibersihkan. Akibatnya berlakulah tindak balas bakteria dan fungus terhadap kulit bayi.
 
Cara-cara mengatasinya
 
Cara mengatasi ruam-ruam ini adalah boleh dengan menggunakan beberapa petua tradisional melayu. Seperti ambil sebiji ragi bersaiz sederhana dan tumbuk sehingga hancur. Kemudian, ayak dan campurkan dengan bedak talkum. Sapukan pada kulit bayi.
 
Petua yang kedua adalah, tanak nasi sehingga menjadi bubur. Kemudian, ambil sedikit dan letakkannya ke dalam kain jarang. Ikat dan picit sehingga keluar kanjinya. Air kanji yang keluar itu kemudiannya disapukan pada tempat yang meruam.
 
Ketiga,  dengan mengambil satu senduk tepung ubi kayu dan masukkan ke dalam kain jarang dan bungkus. Selepas anak mandi, sapukan bungkusan tepung ubi tadi pada bahagian yang ada ruam. Lakukan dua kali sehari.
 
Cara yang seterusnya, menggunakan tepung kanji dan sedikit bedak bayi, kemudian lumurkan pada bahagian badan yang ada ruam.
 
Selain itu, bedak sejuk  (bedak yang diperbuat daripada beras), tumbuk halus dan sapukan pada bahagian tubuh yang dijangkiti ruam.
 
Akhir sekali, gunakan dua helai daun sirih muda bersama sedikit air dan ketepikan. Selepas itu, tumbukkan ibu kunyit sebesar jari kelingking. Campurkan kedua-dua bahan tadi dan bancuh bersama bedak sejuk. Sapukan pada kulit yang terkena ruam. 


SUMBER: Mingguan Wanita